Tuesday, 6 December 2011

REFLEKSI

Kekuatan:

Untuk menjadi guru yang kreatif dan kritis dalam melaksanakan pengajaran saya, saya haruslah mengetahui kaedah dan teknik yang sesuai untuk sesi P&P. Ini bagi mencapai objektif seperti yang dirancang dalam RPH yang disediakan. Kepentingannya adalah untuk memudahkan pengajaran iaitu isi pengajaran menjadi lebih tersusun dan mudah untuk memahami apa yang disampaikan oleh saya. Jika teknik yang dipilih bersesuaian maka ia boleh menarik perhatian murid di dalam kelas.

Sebagai seorang guru, kami sentiasa berfikir untuk melakukan yang terbaik di dalam kelas. Dalam proses pengajaran & pembelajaran bermacam-macam kaedah yang disarankan dalam pedagogi pengajaran antara kaedah yang menarik adalah menyanyi.

Manakala, dalam rancangan Pengajaran dan Pembelajaran yang disediakan oleh saya, saya telah memilih kaedah penggunaan ICT sebagai kaedah menyampaikan Rancangan Pengajaran dan Pembelajaran untuk menarik perhatian kepada murid-murid supaya mereka dapat menumpu perhatian terhadap P&P .

Kelemahan:

Dalam rancangan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu, saya hanya menggunakan lembaran kerja yang sedia ada di dalam buku latihan sahaja. Manakala, boleh diperkatakan bahawa lembaran kerja tersebut adalah kurang sesuai untuk semua murid dalam kelas yang kami mengajar itu. Ini adalah disebabkan dalam sebuah kelas terdapat murid-murid yang berasal dari latar belakang yang berlainan. Mereka mempunyai kebolehan, minat dan bakat yang berlainan. Bahkan, kehidupan sosial, budaya ikutan serta kehidupan seharian juga turut berbeza. Akibat penglahiran perbezaan tersebut, tidak hairanlah dalam sesebuah kelas wujud pelbagai masalah pembelajaran. Maka, saya adalah sukar untuk menguji tahap kefahaman setiap murid. Selain daripada itu, saya juga tidak menyediakan lembaran kerja tentang aktiviti pengayaan untuk mencabarkan murid-murid yang pandai dan aktiviti penyusulan untuk murid-murid yang lemah.

Cara-cara mengatasi:

Lembaran kerja adalah salah satu aset penting di mana salah satu fungsinya adalah untuk mengukur keupayaan murid mengusai dan memahami kemahiran satu-satu mata pelajaran yang diajar. Dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran, murid memerlukan lembaran kerja sebagai pandu-arah mereka selain dapat mengukuhkan pemahaman mereka terhadap tajuk yang diajar guru pada hari berkenaan.

Ini disebabkan lembaran kerja yang disediakan menarik dari segi ilustrasi yang ada, bentuk dan saiz tulisan yang mudah difahami dan boleh dibaca. Lembaran kerja yang dibuat sendiri oleh guru adalah sebagai daya penarik untuk murid pemulihan menikmati pelajaran pada hari berkenaan. Jika pembelajaran tanpa sebarang bahan bantu mengajar dan sekadar teori semata-mata (cakap mulut) akan membosankan murid. Jadi, jangan terkejut jika ada murid yang tertidur, tersengguk-sengguk atau berkata BOSAN semasa guru mengajar.

CIRI-CIRI LEMBARAN KERJA

  • Mempunyai arahan yang ringkas, jelas dan mudah difahami
  • Mempunyai gambar yang jelas dan terang
  • Jenis tulisan dicadangkan adalah ‘century gothic’
  • Saiz tulisan pula adalah 14
  • mempunyai contoh sebagai rujukan murid
  • setiap satu lembaran kerja mempunyai satu kemahiran sahaja.
  • tidak digalakkan mencampur-adukkan pelbagai kemahiran

Sebaiknya, lembaran kerja yang diedarkan mestilah disiapkan oleh murid pada hari berkenaan juga. Hal ini bagi mengelakkan murid daripada membawa balik lembaran kerja ke rumah kerana dikhuatiri bukan murid yang akan menyiapkan latihan berkenaan. Jika lembaran kerja dibawa balik oleh murid, risiko hilang dan tidak siap adalah tinggi.

No comments:

Post a Comment